Atman

Atman adalah perkataan dari bahasa Sanskrit yang bermaksud diri dalaman, roh atau semangat. Dalam falsafah agama Hindu terutamanya aliran Vedanta, Atman ini merupakan prinsip pertama, diri yang sebenar bagi seseorang. Ia melampaui penjatian dengan fenomena dan merupakan intipati seseorang. Bagi tujuan mencapai moksha, maka seorang manusia itu haruslah mendapatkan atma gyan atau pengetahuan mengenai diri. Pandangan mengenai kesedaran diri atau jivatman serta Brahman ini terbahagi pula kepada beberapa aliran iaitu aliran Advaita, Dvaita dan Bhedabheda.

Enam aliran ortodoks mempercayai bahawa Atman itu berada dalam jiwa setiap makhluk yang bernyawa. Hal ini membezakan aliran-aliran ortodoks ini dengan ajaran Buddha mengenai anatta yang berpandangan bahawa tiada roh atau diri.

Kitab Suci Veda

Penggunaan awal perkataan atman ini dalam sastera Hindu boleh ditemui dalam Rigveda (RV X.97.11). Yaska, seorang ahli tatabahasa bahasa Sanskrit pada zaman purba mengulas mengenai ayat ini, menerima bahawa atman itu adalah prinsip yang meresap, organisme yang didalamnya bersatu segala elemen dan prinsip makhluk yang mempunyai deria rasa.

Ayat Rigveda lain yang turut memaparkan perkataan atman termasuklah I.115.1, VII.87.2, VII.101.6, VIII.3.24, IX.2.10, IX.6.8 dan X.168.4.

Upanishad

Atman merupakan idea utama dalam semua Upanishad dan "ketahuilah Atman kamu" dalam fokus bertemanya. Sastera ini menyatakan bahawa dasar bagi setiap jiwa seseorang itu bukanlah tubuh, bukan akal, bukan ego tetapi atman iaitu 'roh' atau 'diri'. Atman ini adalah intipati rohaniah dalam semua makhluk, kejadian sejati dan asas dalam semua makhluk. Atman adalah abadi, asas dan tidak dimamah usia. Atman inilah tahap yang paling dalam bagi sesuatu kewujudan atau makhluk.

Pemahaman tentang Atman

Semua aliran utama yang ortodoks seperti Nyaya, Vaisesika, Samkhya, Yoga, Mimamsa dan Vedanta menerima dasar asas yang tersebut di dalam Veda dan Upanishad bahawa Atman itu wujud. Penganut agama Jain juga menerima dasar ini walaupun mereka mempunyai buah fikiran mereka sendiri mengenai pengertiannnya. Sebaliknya, penganut ajaran Buddha dan pengikut aliran Charvaka menafikan pula kewujudan Atman.

Atman sebagai pengetahuan diri, merupakan salah satu daripada tema yang mempunyai pengertian dalam semua aliran pemikiran agama Hindu. Namun, mereka berbeza pandangan pula tentang kaedah memberikan pengertian kepadanya.