Makanya, telah aku dengari bahawa:
Pada suatu ketika, baginda Buddha berdiam di asrama yang didanakan oleh Anāthapiṇḍika di Taman Jetavana dalam ibu kota Kerajaan Śrāvasti, bersama dengan 1,250 bhikṣu, 500 bhikṣuṇi dan 1,000 upāsaka serta 500 orang pengemis.
Tatkala itu, terdapat seorang anak kepada seorang tua bernama, Sujāta (kelahiran baik). Beliau berkata kepada baginda Buddha, "Yang Maha Mulia, enam orang acarya bukan penganut selalu menekankan bahawa ajaran mereka itu adalah untuk makhluk yang berhati nurani. Mereka menyatakan bahawa, "Sekiranya kamu memberi sembah setiap pagi di enam penjuru loka, maka umurmu itu akan panjang, kemewahanmu pun bertambah. Kenapa? Benua di timur itu diperintah oleh Sang Śakra, yang mempertahan dan membantu pemujanya. Benua di selatan diperintah oleh Sang Yama, yang mempertahan dan membantu pemujanya. Benua di barat diperintah oleh Sang Varuṇa, yang mempertahan dan membantu pemujanya. Benua di utara diperintah oleh Sang Kubera, yang mempertahan dan membantu pemujanya.
Benua di ruangan angkasa bumi diperintah oleh Sang Agni, yang mempertahan dan membantu pemujanya. Benua yang di angkasa raya diperintah oleh Sang Bāyu, yang mempertahan dan melindungi pemujanya. Wahai Yang Maha Mulia, adakah enam penjuru loka ini juga dipuja dalam dharma ini?