Ciri Bodhisattva itu terdedah oleh sebab Bodhicitta

Tuan yang budiman, sesetengah orang itu menyatakan bahawa ciri Bodhisattva itu adalah seperti ciri emas yang sudah semestinya berada di dalam bijih emas. Melalui jalan berkemahiran sebagai penyebab dan punca, maka ia pun menjadi emas yang berguna. Para brahmin menyatakan bahawa ciri Bodhisattva itu adalah serupa. Kenapa? Kerana mereka selalu menyatakan bahawa dalam biji buah peepal itu ada pohonan peepal dan api serta batu itu berada dalam mata seseorang [apabila seseorang itu melihatnya]. Oleh itu, para brahmin tidak memahami maksud penyebab dan akibat. Bagi mereka, penyebab itu adalah kesan dan kesan itu adalah penyebab.

Buah fikiran mereka mengenai penyebab dengan perumpamaan biji peepal itu sendiri mengandungi pohonan peepal itu sendiri adalah tidak benar. Kerana sebab itu adalah kecil dan kesan itu adalah besar. Tambahan lagi, sekiranya api itu berada dalam mata seseorang maka akan terbakarlah matanya. Jika batu itu berada dalam mata seseorang maka akan tertutuplah pandangannya. Bagaimanakah mata yang tertutup itu dapat melihat?

Wahai Tuan yang budiman, brahmin-brahmin menyatakan bahawa yang wujud itu akan terus wujud manakala yang tidak wujud itu maka akan terus tidak wujud. Sekiranya pernyataan ini benar, maka kewujudan itu tidak akan berakhir, dan tiada sesuatu pun akan timbul dari ketidakwujudan. Jika bijih emas itu mempunyai ciri emas, maka ciri itu bukanlah emas sendiri. Menyatakan bahawa bijih emas itu mengandungi ciri emas adalah sama seperti kita memandang bahawa emas itu tidak mengetahui cirinya sendiri dan ciri emas itu tidak mengenali emas itu.

Tuan yang budiman, melalui pertemuan antara sebab dan punca, maka sesuatu yang tidak wujud sebelum itu pun wujud. Walau bagaimanapun, para brahmin mendakwa bahawa sesuatu yang tidak wujud itu tidak akan pernah wujud. Mereka turut mendakwa bahawa sesuatu yang wujud itu tidak pernah akan tidak wujud. Walau bagaimanapun, jika emas itu bercampur dengan merkuri maka emas itu pun akan termusnah.

Oleh itu, barangsiapa yang mendakwa bahawa segala makhluk berhati nurani itu mempunyai ciri Bodhisattva maka mereka itu bukanlah penganut dharma Buddha. Tuan yang budiman, sebagai contoh, hanya melalui penyebab dan punca-punca maka bijih emas itu menjadi emas yang berguna. Hal sama juga benar untuk ciri Bodhisattva. Makhluk berhati nurani dengan pemikiran yang berfikir iru mempunyai keinginan. Sekiranya mereka menghidupkan bodhicitta melalui penyebab dan punca, maka keinginan mereka itu akan menjanakan karma yang baik. Maka mereka itu dikatakanlah mempunyai ciri Bodhisattva.

Tuan yang budiman, barangsiapa yang pada awalnya itu tidak mempunyai bodhicitta maka dia boleh menghidupkannya kemudian. Seperti juga barangsiapa yang awalnya tidak mempunyai ciri Bodhisattva, maka bolehlah dia membangunkannya kemudian. Oleh itu, seseorang itu tidak sepatutnya mengatakan bahawa makhluk berhati nurani itu sememangnya mempunyai ciri Bodhisattva.

Tuan yang budiman, barangsiapa mencari kebijaksanaan maka dia itu digelar sebagai Bodhisattva. Barangsiapa yang mempunyai pemikiran yang tetap, mencari kebenaran dalam semua dharma serta hiasan yang agung [pahala dan kebijaksanaan], melepaskan makhluk berhati nurani tanpa rasa berat hati maka digelarlah dia itu sebagai Bodhisattva. Barangsiapa yang mengamalkan Mahayana maka dia itulah seorang Bodhisattva.