Perbuatan Baik dan Benar

 41. Segala yang ditimbulkan oleh fikiran, perkataan dan perbuatan yang tidak menyenangkan bagi dirimu, segala yang menimbulkan duka dan menyakiti hatimu maka janganlah kamu lakukan kepada orang lain. Perbuatan yang tidak kamu sukai menimpa dirimu, maka janganlah kamu timpakan lepada orang lain.

42. Barangsiapa yang jaya mengatasi hawa nafsunya, maka mereka itu adalah orang yang bersungguh-sungguh serta bijaksana dalam menjalankan kebajikan dan kebenaran. Mereka inilah yang sepatutnya menjadi contoh tauladan dalam melaksanakan kebajikan dan kebenaran.

43. Kebajikan dan kebenaran itu memenuhi semesta ini, ia tidak terikat oleh sesuatu pun, bukan milik orang perseorangan, kelompok atau jati tertentu. Ia antara ada dan tiada. Ia akan muncul menampakkan dirinya dalam perbuatan manusia yang berkebajikan dan benar, namun ia sesungguhnya tiada dalam hati serta perbuatan manusia yang berhati busuk dan jahat.

44. Teliti dan pelajarilah segala perilaku dan setiap perbuatanmu, sehingga dapat diketahui hakikat dari kebajikan dan kebenaran. Setelah difahami maka simpanlah dalam hatimu. Segala yang tidak disukai olehmu maka janganlah kamu lakukan kepada orang lain. Segala yang kamu sukai itu, maka itulah yang kamu berikan kepada orang lain juga.

45. Mereka yang tidak melakukan kebajikan dan kebenaran itu umpama padi yang hampa dan telur busuk yang ternyata ada tetapi tidak berguna.

46. Kebanyakan manusia di bumi ini tidak memahami hakikat kebajikan dan kebenaran. Mereka tidak mengendalikan hawa nafsu dan hidup mereka hanya menunggu kematian. Mereka tidak pernah berusaha memahami hakikat kematian. Hidup yang kosong ini umpama rumput yang mati dan tumbuh kembali. Tetapi tumbuhnya itu hanya menunggu mati.

47. Mereka yang memungkiri kebajikan dan kebenaran disebabkan keangkuhan diri serta tetap kekal melakukan kekejian dan kejahatan. Hidup mereka itu akan dipenuhi sengsara dan kesedihan.

48. Mereka yang bodoh dan tetap melakukan kemaksiatan dan kejahatan akan memperolehi neraka. Setelah dilalui seksaan neraka olehnya maka menitislah mereka menjadi binatang. Kemudian, jati mereka itu pun meningkat, maka menjelmalah mereka menjadi orang yang cacat, hina, sengsara dan hidup mereka itu terumbang-ambing dalam kesedihan serta hidup mereka itu jauh dari kesenangan.

 49. Sesungguhnya yang paling mendesak untuk dilakukan adalah mengejar harta yang tidak mampu dirampas atau dicuri oleh sesiapa pun. Harta yang akan sentiasa menemani di alam akhirat, harta sebeginilah yang harus dicari, harta ini adalah kebajikan dan kebenaran.

50. Mereka yang tekun mengusahakan kebajikan dan kebenaran, meskipun hidup dalam kemiskinan dan mengemis itu sebenarnya adalah orang yang kaya. Kerana kekayaan mereka itu tidak mungkin dapat dirampas atau dicuri oleh sesiapa pun.

51. Mereka yang tekun dalam kebajikan dan kebenaran, secara ajaibnya akan memperolehi kehidupan yang selayaknya. Kerana bagi mereka yang berkebajikan dan menjalankan kebenaran itu, makanan, pakaian dan segala macam harta kekayaan itu seolah-olah datang menawarkan diri untuk dimiliki oleh mereka.

52. Banyak makanan yang tersedia di dalam hutan, di sungai-sungai yang jernih airnya. Lampunya adalah bulan. Oleh itu, janganlah mengorbankan kebajikan dan kebenaran hanya semata-mata untuk memperolehi harta duniawi. Kerana mungkin kamu terlambat dalam melaksanakan kebajikan dan kebenaran kerana kesibukan menimbunkan harta hasil dari kekejian dan kejahatan.

53. Laksanakanlah kebajikan dan kebenaran dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Bersama dengan itu pula, carilah harta yang didasari oleh kebajikan dan kebenaran. Laksana seekor lembu yang membajak sawah, sambil bekerja itu sempat juga ia meragut rumput yang tumbuh melata di sekelilingnya. Oleh itu, ia pun bekerja tanpa merasa letih atau lelah.

54. Kebajikan dan kebenaran itu amatlah mulia. Ia bersifat rahsia yang tinggi, bagaikan gelombang air oleh ikan yang berenang dalam air. Namun begitu, orang yang bijaksana itu sentiasa teguh hatinya dalam menegakkan kebajikan dan kebenaran.