Pengertian Stotra

Stotra bermaksud pujian-pujian yang diberikan kepada dewata. Stotra ini adalah sejenis genre dalam sastera agama Hindu yang disusun dalam bentuk nyanyian berirama. Hal ini berbeza dengan śastra iaitu sejenis genre lagi yang disusun untuk dibaca sahaja.

Stotra boleh menjadi puja-puja, gambaran mengenai dewata atau perbualan antara pembacanya dengan dewata dalam bentuk kekawin. Ia boleh juga berbentuk kekawin yang ringkas, mengungkapkan pujian atau kebaktian persendirian terhadap sesuatu dewata. Contohnya, stotra boleh berbentuk kekawin yang dikaitkan dengan ajaran kerohanian dan falsafah. Stotra-stotra awal boleh dikesan bermula dari Samaveda.

Banyak daripada stotra ini merupakan pujian terhadap ciri-ciri ketuhanan seperti Devi, Śiva dan Viṣṇu. Perkataan yang berkaitan iaitu stuti yang terbit dari perkataan bahasa Sanskrit yang sama iaitu stu pun membawa maksud 'pujian'. Stotra-stotra yang terkenal sekali adalah Śiva Taṇḍava Stotra yang memuji Batara Śiva dan Rāma Rakṣa Stotra iaitu permohonan suaka di bawah Śrī Rāma.

Nama-Stotram

Nama-stotram adalah didasarkan kepada japa nama-nama bagi dewata. Sahasranama, iaitu sejenis nama-stotram, merupakan sejenis japa yang mengandungi sebanyak 1000 nama bagi dewata yang tertentu. Sebagai contoh, Viṣṇu Sahasranama, mengandungi 1000 nama Batara Viṣṇu.

Terdapat juga nama-stotram yang mengandungi sebanyak 100 atau 108 nama dewata tertentu. Menurut agama-agama Hindu, nama-nama Tuhan ini merupakan alat kebaktian yang tidak terharga.