Brahman

Brahman merujuk kepada Prinsip Sejagat Yang Maha Tinggi, Hakikat Tertinggi di jagat raya. Dalam falsafah Hindu yang terutama, Brahman ini punca terakhir bagi kewujudan segala sesuatu. Brahman bersifat meresap, tidak terbatas, kebenaran abadi dan ketenangan yang tidak pernah berubah walaupun menjadi punca bagi segala perubahan. Brahman ini menjadi konsep alam ghaib yang merujuk kepada kesatuan yang mengikat segala perbezaan dalam segala yang wujud di jagat raya ini.

Brahman merupakan perkataan bahasa Sanskrit dari kitab suci Veda yang merangkumkan, "prinsip penciptaan yang tersirat dan disedari di seluruh dunia" (Paul Deussen). Brahman menjadi konsep utama yang ditemui dalam kitab suci Veda dan dibincangkan secara panjang lebar dalam semua Upanishad yang awal. Kitab suci Veda menjelaskan bahawa Brahman ini adalah Prinsip Jagat Raya. Dalam Upanishad pula, Brahman dijelaskan sebagai Sat Cit dan Ananda iaitu Kebenaran, Kesedaran dan Ketenangan. Di samping itu, Brahman dijelaskan sebagai Sakara atau berupa namun ia adalah Hakikat yang tidak pernah berubah, kekal tetap dan Maha Tinggi.

Brahman dibincangkan juga dalam sastera-sastera Hindu bersama dengan konsep Jivatman, berperibadi, tidak berperibadi atau Para Brahman atau dalam pelbagai gabungan ciri-ciri yang disebutkan itu bergantung kepada aliran falsafah. Dalam aliran falsafah dualisme seperti Dvaita Vedanta, Brahman ini dijelaskan sebagai berbeza daripada Jivatman yang berada dalam setiap makhluk. Dalam aliran unisme pula, Brahman ini sejati dengan Jivatman, berada di mana-mana sahaja dan berada dalam setiap makhluk. Brahman dan Jivatman ini berhubung secara rohaniah dalam semua kewujudan.