Bhagavadgita

Bhagavadgita atau Nyanyian Begawan selalu juga dirujuk sebagai Gita sahaja. Ia mengandungi sebanyak 700 ayat yang disampaikan dalam bahasa Sanskrit. Bahagian ini sebenarnya membentuk sastera Mahabharata iaitu dalam Bhisma Parva bermula bab ke-23 sehingga bab ke-40.

Gita ini merupakan rangka kerja ceritera berbentuk perbualan antara Arjuna, putera Pandava dengan pemberi petunjuk dan pemandu pedati baginda iaitu Begawan Krishna. Pada permulaan dharmayuddha atau peperangan kebenaran antara Pandava dan Kaurava, Arjuna mengalami dilema dari segi moral dan kecewa kerana berlakunya keganasan dan kematian yang disebabkan oleh peperangan itu. Arjuna pun terfikir untuk mencari suaka dan mencari nasihat dari Krishna. Lalu, berlakulah perbualan yang kini membentuk Bhagavadgita. Begawan Krishna menasihati Arjuna supaya 'memenuhi dharma Kshatriya baginda dalam mempertahankan dharma' melalui 'tindakan yang tidak terikat dengan jiwa'. Perbualan Krishna-Arjuna ini meliputi pelbagai bidang kerohanian, menyentuh mengenai dilema-dilema susila dan isu-isu falsafah yang melampaui isu peperangan yang dihadapi oleh Arjuna.

Bhagavadgita mempersembahkan sintesis antara buah fikiran orang Hindu mengenai dharma, bhakti berketuhanan dan buah-buah fikiran ideal yoga mengenai moksha. Sastera ini meliputi jnana, bhakti, karma dan raja yoga (yang disebut dalam bab ke-6). Di samping itu, ia menggabungkan juga buah fikiran dari falsafah Samkhya-Yoga.

Pelbagai ulasan ditulis mengenai Bhagavadgita dan pandangan-pandangannya pun berbeza-beza pada dasarnya. Pengulas Vedanta akan membaca pelbagai hubungan antara Atman dengan Brahman dalam sastera ini. Pengulas Advaita Vedanta melihat bahawa Atman dan Brahman itu asasnya tunggal asalnya. Pengilas Bhedabheda dan Vishistadvaita melihat Atman dan Brahman sebagai berbeza dan tidak berbeza manakala pengulas Dvaita melihat Atman dan Brahman sebagai berbeza. Suasana peperangan dalam Gita itu ditafsirkan sebagai perumpamaan perjuangan hidup manusia dari segi menegakkan tatasusila dan dharma.

Bhagavadgita adalah sastera Hindu yang terkenal dan mempunyai pengaruh khusus pan-Hindu. Seruan Gita supaya penganut bertindak dengan tidak mengutamakan perasaan sendiri ini memberikan inspirasi kepada pejuang kemerdekaan India seperti Bal Gangadhar Tilak dan Mahatma Gandhi. Mahatma Gandhi sendiri menggelarkan Gita sebagai kamus rohaniah beliau.

Rujukan
  • Srimad Bhagavad Gita dalam bahasa Inggeris (online)