Tujuan Hidup Manusia

1. Wahai anakanda Janamejaya, ada pun segala ajaran tentang chaturvarga sama ada yang punca sama ada huraiannya itu ada di sini. Segala yang berada di sini terdapatlah juga dalam sastra yang lain. Segala yang tidak terdapat di sini, maka tiadalah juga ia di dalam sastra yang lain.

2. Manusia itu adalah satu-satunya makhluk yang mampu melakukan kebajikan dan kejahatan. Penjelmaan sebagai manusia ini bertujuan supaya melebur segala perbuatan jahat ke dalam perbuatan kebajikan sehingga tiadalah tersisa lagi perbuatan jahat dalam diri. Maka, inilah hakikat penjelmaan manusia. Hanya dengan penjelmaan manusia sahajalah kejahatan itu dapat dileburkan ke dalam kebajikan.

3. Janganlah engkau bersedih terjelma sebagai manusia meskipun dalam penjelmaan yang dianggap sebagai paling hina kerana sesungguhnya sukar sekali jiwa itu menjelma menjadi manusia. Berbahagialah engkau kerana terjelma menjadi manusia.

4. Penjelmaan manusia itu adalah penjelmaan yang paling utama. Kerana dengan penjelmaan manusia itulah jiwa dapat menjalankan kebajikan dan kebenaran. Hanya dengan kebajikan dan kebenaranlah kesengsaraan itu dapat dijauhi.

5. Manusia yang berdosa itu dianggaplah sebagai sampah sekaligus roga penyakit di dalam dunia. Sesungguhnya, tiada sebarang kesenangan pun di dalam kejahatan. Si pendosa itu akan sentiasa berasa kosong dalam setiap perbuatannya. Kebahagiaan yang diperolehi dari perbuatan jahatnya itu hanyalah maya.

6. Gunakanlah peluang terbaik dari penjelmaan sebagai manusia ini, kesempatan yang sukar sekali dicapai, kesempatan untuk naik ke alam sorga. Lakukanlah perbuatan yang membawa jiwa ke sorga dan jauhilah perbuatan yang menyebabkan jiwa jatuh ke neraka.

7. Terjelma sebagai manusia itu adalah peluang untuk melakukan kebajikan dan kejahatan yang hasilnya nanti akan diterima di akhirat. Balasan segala perbuatan yang dilakukan dalam alam ini akan diterima di akhirat. Setelah menerima balasan akhirat maka jiwa akan menjelma kembali di alam bumi. Di alam akhirat itu tiadalah perbuatan yang diberikan pahala. Sesungguhnya perbuatan di bumi inilah yang menentukan balasan di akhirat.

8. Penjelmaan sebagai manusia ini sangatlah pendek dan pantas. Bagaikan kilatan cahaya petir. Tambahan pula, penjelmaan dalam rupa manusia ini sukarlah untuk dicapai. Oleh itu, gunakanlah peluang yang ada ini dengan sebaik-baiknya. Lakukanlah perbuatan kebajikan dan benar yang akan memutuskan lingkaran dan putaran kesengsaraan lahir dan mati di mana kebebasan abadi itu boleh dicapai.
 
9. Mereka yang memenuhi penjelmaannya dengan hanya mengejar kekayaan, kesenangan, menyenangkan nafsu kotor dan rakus. Mereka yang enggan melakukan kebajikan di bumi, maka mereka itu adalah orang tersesat menjauhi jalan kebenaran.
 
10. Mereka yang telah melakukan kebajikan dan kebenaran, namun masih terikat dalam samsara, maka mereka itu belum lagi memperolehi intisari dari kebebasan sebenar.
 
11. Carilah kekayaan dan kesenangan dengan berlandaskan kebajikan dan kebenaran kerana ia menghantarmu ke syurga. Janganlah engkau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kebenaran. Manusia sering leka dan mengabaikan kebajikan serta kebenaran. Bagi mereka, hal itu sangatlah susah untuk dikerjakan. Sedangkan perbuatan kejahatan dan adharma itu sangat mudah pula bagi mereka melakukan walaupun dosa disebabkannya membawa ke neraka.
 
12. Jika kekayaan dan kesenangan yang dicari, maka jalankanlah kebajikan dan kebenaran terlebih dahulu. Jika kebajikan dan kebenaran dijalankan maka kekayaan dan kesenangan itu pasti menyusul. Sesungguhnya tiada ertinya kekayaan dan kesenangan yang dicari itu jika ia menyimpang dari kebenaran dan kebajikan.
 
13. Orang yang bijaksana adalah orang yang sentiasa melakukan kebajikan dan kebenaran. Orang yang tidak bijaksana itu adalah orang yang memperolehi kesenangan dengan cara adharma. Mereka yang bijaksana itu mempunyai kerakusan lantas tergoda oleh kekayaan dan kesenangan yang jahat.
 
14. Kebajikan dan kebenaran itu laksana perahu yang membawa manusia ke syurga.
 
15. Dalam usaha mencari kekayaan dan kesenangan, seringkali kegagalan diperolehi. Namun, usaha untuk melaksanakan kebajikan dan kebenaran itu sudah pasti mendatangkan hasil walaupun hanya terbit di dalam angan-angan sahaja.
 
16. Bagaikan matahari yang terbit melenyapkan kegelapan alam, seperti itulah mereka yang sentiasa melakukan kebajikan dan kebenaran dalam hidupnya kerana ia memusnahkan segala dosa.
 
17. Sesiapa jua baik yang mulia, berkuasa, hina-dina itu selama mereka tekun menjalankan kebajikan dan kebenaran maka akan tercapailah tujuan dan cita-citanya.
 
18. Kebajikan dan kebenaran adalah sumber terbitnya kebahagiaan. Barangsiapa yang melakukan kebajikan dan kebenaran, maka mereka akan dilindungi sentiasa. Maka, selebihnya itu hanya kebajikan dan kebenaran yang mampu meleburkan segala macam dosa.
 
19. Mereka yang tidak bimbang namun hatinya tetap teguh dalam melaksanakan kebajikan dan kebenaran maka bahagialah hidup mereka. Meskipun mereka meneruskan kehidupan mereka sebagai pengemis namun hal itu tidak menyebakan saudara, keluarga dan kenalannya bersusah dan bersedih hati.
 
20. Umpama tanaman tebu di kala hujan, bukan sahaja tebu menerima air namun tanaman lain di sekitarnya juga menerima manfaatnya. Baik rumput mahupun tanaman menjalar dan lain-lain semuanya menerima manfaat. Demikianlah halnya orang yang tekun dalam kebajikan dan kebenaran, sekaligus mereka akan mencapai kekayaan, kesenangan dan kemahsyuran.
 
21. Mereka yang menjalankan kebajikan dan kebenaran itu setelah naik syurga kelak akan menjelma kembali di bumi menjadi orang yang rupawan, gunawan, muliawan dan berkekuasaan. Segala macam pahala kebajikan dan kebenarannya itu akan diperolehnya kembali.
 
22. Mereka yang sentiasa melaksanakan kebajikan dan kebenaran, secara ajaibnya dilindungi dari mara bahaya. Walaupun semasa berada di hutan, di jurang, di semak samun, di kancah peperangan atau di sebarang tempat yang memberi ancaman bahaya kepada manusia kebanyakannya. Tiada mara bahaya yang dapat mencelakakan orang yang tekun menjalankan kebajikan dan kebenaran.
 
23. Mereka yang sentiasa menjalankan kebajikan dan kebenaran itu akan memperolehi isteri yang cantik dan utama, mendapat kemewahan rumah, limpah sandang pangan dan harta kekayaan.
 
24. Bagaikan katak yang melompat sendiri di takungan air, bagaikan burung yang hinggap di telaga, demikianlah harta kekayaan dan kesenangan itu menyusul sendirinya kepada mereka yang teguh berpegang dengan kebajikan dan kebenaran.
 
25. Manusia itu boleh bersantai dalam mencari harta kesenangan, namun dalam menjalankan kebajikan dan kebenaran maka hendaklah mereka itu selalu memikirkan kematian yang bakal menjelma di kemudian hari, hingga hilanglah kemalasannya.
 
26. Mereka yang menyedari bahawa maut dan kematian itu selalu mengintai kehidupannya, maka mereka tentu tidak akan rakus membolot harta dan kesenangan. Apa lagi melakukan perbuatan jahat yang menyimpang dari kebajikan dan kebenaran.
 
27. Bagaikan lalang yang baru tumbuh dan tajam, apabila tua juga ia akan tetap tajam. Begitulah juga kebajikan dan kebenaran, harta dan ilmu pengetahuan itu dikejar sebanyak yang mungkin pada masa muda serta sihat.
 
28. Masa muda itu adalah waktu terbaik buat mempelajari hakikat dari kebajikan dan kebenaran, usaha memperolehi harta dan mengejar ilmu pengetahuan.
 
29. Masa kanak-kanak meniti masa muda remaja. Setelah itu, meniti masa tua dan masa tua itu meniti kematian yang sudah pasti mendekat. Menyedari hal ini, maka hendaklah manusia itu segera menjalankan kebajikan dan kebenaran.     
 
30. Panjangnya hidup manusia harus dikurangi masa sakit yang mana manusia ketika sakit itu tidak mempu menjalankan sesuatu kerja apa pun. Kesakitan itu pasti mempercepat datangnya kematian. Menyedari hal itu, maka manusia harus segera menjalankan kebajikan dan kebenaran dalam hidupnya. 
 
31. Kerana kematian itu tidak boleh dijangka kedatangannya dan ia pun tidak memberi maklum bila kedatangannya. Selagi masih hidup, lakukanlah segera kebajikan dan kebenaran. 
 
32. Keluarga, sahabat dan teman hanya mampu menghantar sehingga ke kuburan ketika kematian tiba. Ada pun, yang tetap mengiringi roh sehingga ke alam akhirat itu adalah perbuatan baik dan buruk semasa hidup. Lakukanlah segera perbuatan kebajikan semoga ia menjadi teman pengiring ke alam syurga.
 
33. Sudah jelaslah bahawa setelah mati itu hanya tubuh kasar tidak berguna sahaja yang tertinggal lantas terbuang seperti pecahan pinggan dan mangkuk. Sementara waktunya tubuh itu dihormatilah oleh sanak saudara dan keluarga, selanjutnya dibakar atau ditimbus di dalam tanah. Oleh itu, kerjakanlah kebajikan dan kebenaran buat menjadi teman mencapai kebahagiaan dan kebebasan abadi.

34. Hanya kebajikan dan kebenaran sahaja yang utama, hanya ketenteraman hati yang menjadi kekuatan menepis pelbagai godaan sesat. Hanya itulah sahaja yang mampu meleburkan dosa dan mnghilangkan duka nestapa. Ingatkanlah dengan baik tentang kebenaran dan kesedaran diri. Hendaklah ilmu pengetahuan yang benar menjadi tujuan hidup kerana ilmu pengetahuan yang benar itu membawa kepada kebahagiaan. Sedangkan tindakan ahimsa, tidak membunuh, tidak dibutakan oleh amarah maka semua itu adalah kebahagiaan sejagat. 

35. Sesungguhnya semua agama memiliki ajaran yang sama. Semua agama mengajarkan kebajikan dan kebenaran bagi mencapai alam syurga dan pembebasan dari kesengsaraan. Namun, cara masing-masing dalam mencari kebenaran itu berbeza-beza. Agama yang bingung itu membenarkan yang tidak benar. Kebenaran sekelompok, dianggapnya sebagai kebenaran semua sehingga akhirnya menyalahkan yang sesungguhnya benar (kebenaran sejagat yang diterima dalam pelbagai golongan). Bahkan, agama yang bingung itu ada yang menyatakan bahawa kebenaran hanya ditemui dalam gua atau Tuhan itu hanya milik kelompoknya sahaja. 

36. Oleh itu, janganlah angkuh kepada orang bijaksana, namun selalulah mendapatkan panduan tentang kebijaksanaan. Kerana yang disebut dengan kebajikan dan kebenaran sejagat, pengertian dan pemahaman mengenainya itu adakalanya muncul tanpa disangka-sangka.