Memang semulajadi manusia itu perlu memuaskan keinginannya seperti lapar, dahaga dan mempunyai tempat untuk berehat. Setiap orang itu mempunyai tanggungjawab kepada dirinya sendiri, kumpulan masyarakatnya dan bangsanya. Biasanya juga, semua tugasan ini akan menaikkan seseorang itu ke tahap kerohanian tertentu. Tugasan dan tanggungjawab ini disebut sebagai, dharma.
Dharma seorang mahākṣatria atau penguasa negeri adalah untuk memantau hamba rakyatnya dan memastikan bahawa mereka mendapat peluang secukupnya untuk menikmati kenaikan kerohanian dan juga melalui perjalanan hidup dengan baik. Inilah pengertian bagi pepatah, "Rāja dharmasya karaṇaṃ".
Upasana adalah dhyana atau tumpuan tapa semadhi. Satu bentuk rupa itu diperlukan buat semadhi penumpuan. Hakikat ini selalunya adalah sama dan tidak berubah pun. Tuhan pula, sebagai Hakikat Terakhir, itu tidak berupa. Namun upasana dengan rupa itu dijalankan dengan bersebab, bukannya sesuka hati. Ia mampu memberi faedah pula kepada mereka yang menjalani upasana.
Tujuan yang dicapai dengan pemujaan atau semadhi pada satu rupa itu pun berbeza antara satu dengan yang lain. Sastera agama menceritakan mengenai cara-cara bertapa dan mengenai rupa apa yang boleh ditapakan serta kesannya. Bagi Upasana, haruslah diikut dengan baik sastera bagi segala agama. Upasana yang berbeza-beza semua itu merupakan bantuan dalam jalan mencapai matlamat terakhir, iaitu memahami Hakikat itu. Sastera agama memberi nasihat mengenai pengamalan upasana itu demi melatih minda untuk bersemadhi dan membuat tumpuan. Upasana adalah suatu perkara yang diperbuat secara perseorangan sahaja. Tidak ada upasana secara berjemaah atau beramai-ramai.
Sama ada buah mentah atau pokok tiadalah mereka itu mahu ditanggalkan dari sesama sendiri. Namun, apabila buah sudah ranum, maka keterikatannya akan hilang dengan sendirinya. Manusia memerlukan pengalaman marah, dengki, nafsu berahi, minat dan lain-lain samalah seperti buah itu melalui pelbagai tahap tumbesaran dan rasa yang selalu berubah-rubah sehingga ia masak ranum dan sendirinya tercabut dari tangkai pokok. Kita tidak mampu mengatasi segala pengalaman ini pada mulanya. Namun kita harus merenung hakikat kenapa kita mesti melalui pengalaman ini semua. Kalau tidak maka merugilah kita. Kita akan menjadi hamba kepada pengalaman tersebut dan tidak akan mencapai kepuasan atau kesukaan sedikit pun.
Apabila kita dilanda oleh kesusahan, kita pun menyalahkan Tuhan dan mencerca-Nya bahawa Dia itu buta tidak nampak kita sedang menderita dan sengsara. Namun, kalau kita cuba merenung sedikit sahaja, dapatlah kita sedari bahawa kesilapan kita itu sangat besar. Bahawasanya kita ini tidak layak pun untuk menerima anugerah-Nya. Namun, kita masih mendapat makanan, tempat berteduh dan juga pakaian. Keadaan ini terjadi kerana belas kasihan-Nya yang tidak berpenghujung. Haruslah kita menganggap kesusahan hidup yang menimpa kita itu sebagai restu dan rahmat yang tersembunyi di balik kecelakaan.
Ibu mungkin mengikat tangan anaknya yang cenderung ke arah mengutip lumpur kotor untuk dimakannya. Kelihatannya, ibu tersebut begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan. Tetapi dia berbuat demikian untuk kebajikan anak itu sendiri. Begitu juga dengan masalah atau bala yang menimpa itu adalah kurniaan Tuhan demi untuk menyelamatkan kita daripada terus hanyut. Dalam gambaran seluruh kehidupan, masalah dan bencana itu cuma membentuk satu titik halus sahaja pun. Dalam ketidakmampuan kita untuk melihat masa lampau dan masa depan, kita cuma tahu merungut sahaja. Seolah-olah cuma kita seorang saja yang menderita ketika ini. Pandangan yang betul semestinya membolehkan kita memahami "keadaan celaka kini" itu dengan kedudukannya yang betul.
Apabila sebarang kemuliaan itu berlaku kepada seorang itu, maka dia yang menerimanya mestilah ingat bahawa punca kemurnian bagi kelayakannya untuk menerima kemuliaan itu adalah siapa? Merendah hatilah dan jangan terlalu perasan bahawa diri itu begitu penting dan bagus sangat.
Kembangkanlah sikap peramah dan mesra demi jayanya ke atas minda manusia; Lihat kepada yang lain itu sebagai dirimu; Hentikanlah berperang dan berbalah; Tinggalkan penyakit berdengki dan khianat; Jangan menceroboh hak-hak orang lain tanpa sebab-musabab yang kukuh; Ibu Pertiwi itu bagaikan Kama Dhenu yang menunaikan hajat; Tuhan itu bagaikan Bapa yang memandikan kita dengan belas kasihan....
Wahai manusia di seluruh dunia! Hiduplah dengan berdisiplin! Hiduplah dengan kebajikan! Hiduplah dengan belas kasihan! Nescaya kita semua pun akan menerima kebajikan yang maha besar!